101: Selang Tiga Dekad dan 6 Bulan Kehidupan

Kehidupan sepanjang pandemik terasa senyap. Tiada kebisingan. Tiada hiruk pikuk keramaian, gelak tawa dan cerita tentang masa lalu sambil menghirup nescafe ais atau limau ais. Mahupun gurauan kasar rakan-rakan sekolah atau universiti yang berjumpa sekali-sekala di waktu lapang untuk menghentikan seketika perasaan menjadi dewasa yang bekerjaya atau sedang mencari kerjaya. Kadang, menjadi anak-anak itu lebih menyenangkan. Mata yang sentiasa teruja memandang dunia dan tertawa pada hal-hal yang kecil dan menangis tanpa rasa segan. 


Menjadi dewasa bererti kau harus menangis disebalik pintu, dengan bersorokkan bantal. Kau juga tidak boleh terlalu teruja kerana menjadi terlalu gembira di zaman kemurungan itu membuat orang jengkel dan iri. Kau harus bersembunyi. 


Di sebalik dinding konkrit di tingkat 10 sebuah flat di kota metropolitan, kehidupan terasa bagaikan berada dalam pelukan yang hangat. Nyaman dan sederhana apa adanya. Dan hati tidak lagi membentak mahukan rumah yang lebih besar kerana ruang sekitar 650 kaki persegi ini sudah cukup besar untuk dijaga dan dibersihkan oleh dua orang dewasa dan disepahkan oleh seekor burung peliharaan yang terbang lepas didalamnya (dan juga dua orang yang kononnya dewasa itu).


Hari-hari berlalu dengan cukup sederhana, tiada janji temu atau rancangan bersiar-siar di lokasi istimewa. Cukuplah dipenuhi dengan perkara-perkara sederhana yang menyenangkan. 


Kehidupan sepanjang pandemik membawa makna baru dalam memaknai hidup hari-hari.
Yang sederhana itu ternyata sebuah keindahan. 
Merasa cukup itu ternyata sebuah kekayaan.  

Comments